Isnin, 29 November 2010

BELIA MALAYSIA BUKAN KAYU.

Seruan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidn Yasin di Seminar Pemimpin Muda Malaysia di Parlimen hari ini, supaya generasi muda tidak terpedaya dengan kumpulan yang mempunyai kepentingan tersendiri yang membawa ideologi dan perjuangan yang indah bunyinya, sebagai satu kenyataan yang tersilap sasaran. Mungkin beliau membayangkan sedang berucap dengan perwakilan Umno yang terdiri daripada saluran satu yang hanya menelan maklumat melalui media lapok Umno sahaja.

PAS ingin mengingatkan kepada Timbalan Presiden Umno ,belia Malaysia bukan kayu yang tidak bernyawa, kerana mereka hidup di zaman langit terbuka dan maklumat di hujung jari. Belia tahu mana intan dan mana kaca. Generasi ini tidak senang melihat kepincangan yang berlaku di dalam negara kita. Mereka tidak akan biarkan setengah abad kedua diperintah oleh pemimpin yang tidak bertanggungjawab kepada negara dan generasi masa depan.

Sebagai generasi yang kritis dan mempunyai idealisma perjuangan yang tersendiri amat tidak sesuai untuk menyokong Umno BN di negara ini. Mereka sudah boleh melihat contoh hidup yang telah dipamerkan oleh pimpinan negeri Pakatan Rakyat yang jauh lebih baik dari segi keterampilan, ketelusan dan ketertiban ketika melaksanakan mandat rakyat di negara ini. Macam mana Tan Sri Muhyidin hendak menyeru supaya belia ini bersama dengan Umno BN, sedangkan mereka mengalami keperitan hidup lantaran sikap gelojoh dan boros pemimpin Umno sehinggga memberi kesan kepada mereka untuk membina kualiti hidup yang lebih baik.

Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

Isnin, 22 November 2010

Malaysia Perlu Berani Tegur Kuasa Besar

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mahu kerajaan Malaysia lebih berani menegur dan menyatakan keadilan terhadap sikap double standard kuasa-kuasa besar dunia.

Bercakap sewaktu Perbahasan Peringkat Jawatankuasa Kementerian Luar (Hubungan Dua Hala), Ahli Parlimen Marang itu berkata, Malaysia masih tidak memainkan peranan sewajarnya khususnya melalui Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM).

Beliau merujuk kepada isu penindasan Israel terhadap rakyat Palestin, isu nuklear Iran dan isu cadangan penggunaan Dinar oleh Lapan Negara Membangun (D8) pada satu masa dahulu.

"Kerakusan Yahudi Israel sangat melampau sehingga halau rakyat Islam di sekitar Baitul Maqdis, merobohkan rumah-rumah mereka, membakar kampung halaman dan kebun-kebun mereka tanpa perhatian masyarakat antarabangsa.

"Perlu Malaysia sebagai sebuah negara ahli dalam OIC dan negara berkecuali, mengambil sikap lebih proaktif agar masalah ini tidak terus meruncing," katanya yang juga Presiden PAS.

Tambahnya, jika tindakan kejam itu dibiar terus berlaku, dikhuatiri ancaman keselamatan antarabangsa lebih besar akan berlaku.

Dalam isu nuklear Iran pula beliau mahu Malaysia bersikap adil dalam menyatakan pendirian.

"Kementerian Luar tidak tegas, kadang menyokong dan kadang-kadang menentang," katanya lagi.

Iran, katanya telah menjelaskan pengkayaan uranium mereka hanya sebagai sumber tenaga untuk kegunaan rakyat negara itu.

Sangat double standard, katanya jika Malaysia tidak pula menentang penggunaan nuklear oleh kuasa besar lain termasuk Israel dan Amerika Syarikat yang jelas diguna untuk persenjataan.

"Kita perlu sedar, kuasa barat begitu tidak adil dalam hal ini. Mereka membenarkan Israel guna nuklear untuk persenjataan sejak tahun 60an.

"Terbukti mereka guna bahan radio aktif dalam peperangan di Lubnan dan Gaza," katanya.

Dalam isu penggunaan Dinar yang dicadang negara D8 pula, Malaysia katanya gagal berperanan mempertahan cadangan itu sehingga ianya gagal dilaksanakan.

Cadangan tersebut juga, katanya sebelum ini turut disokong mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu melihat ekonomi Islam diperkukuhkan.

"Saya tidak tahu mungkin ada tekanan dari kuasa barat dan kita tidak berani hadapi tekanan ini padahal anggota yang ramai dalam OIC.

"Kenapa kita tidak manfaatkan kedudukan kita dalam OIC untuk bergabung menjadi satu kekuatan?" katanya.

Ahad, 14 November 2010

Ucapan Dari Editor...

Terima Kasih kepada semua pengunjung kerana memberi sokongan dan dorongan kepada kami untuk meneruskan gerak kerja Islam ini, dan kami mengucapkan Selamat Menyambut Aidil Adha.

Selasa, 9 November 2010

Banjir Semakin Pulih.

Alor Setar, 10 Nov 2010 ~ Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim yang ditutup sebelum ini akibat banjir yang melanda sejak 1 November lepas kini sudah mula beroperasi. Kaunter penjualan tiket di lapangan terbang tersebut sudah mula beroperasi seperti biasa. Tinjauan mendapati air di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim sudah surut dan khemah didirikan di sepanjang Jalan Anak Bukit oleh penduduk di situ akibat banjir sebelum ini sudah kosong. Kerja-kerja mengemas rumah dan kawasan sekitar menyebabkan banyak kelengkapan rumah yang mengalami kerosakan diletakkan di luar rumah di sepanjang jalan Anak Bukit kepala Batas. Jalan-jalan utama di bandar ini sudah boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan selepas ditutup akibat banjir melanda negeri ini baru-baru ini.

Ahad, 7 November 2010

Banjir Di Kedah - Sukarelawan Hulur Bantuan.

5 Nov 2010 - Mangsa banjir menerima bantuan dari sukarelawan pemuda pas kedah, antaranya pemuda pas kawasan sik yang turun menghulurkan bantuan ini, banjir yang terburuk sejak 52 tahun lalu ini menjadi perbualan hangat diseluruh dunia. Kami secara sukarela menjadi pihak yang membantu mangsa banjir di Kedah ketika dihubungi, kata Badrul Hisham yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Sik.