Khamis, 30 Julai 2009

KIBAS LAMBANG PENGORBANAN - SU DPPKS

" Tuan-tuan dan puan-puan sekelian, beli lah apa-apa barangan di gerai-gerai Sambutan Jubli Perak ini, saudara berpeluang membawa pulang seekor KIBAS!" itulah laungan host urusetia sambutan Sdr. Ishak Salleh kepada pengunjung iaitu hadiah istimewa kepada pemenang cabutan bertuah. Dalam pada itu, Setiausaha Dewan Pemuda Pas Kawasan Sik yang juga merupakan Setiausaha Sambutan Juli Perak Pas Kawasan Sik Sdr. Mokhtarizal Mokhtar menjelaskan Kibas adalah simbolik kepada pengorbanan Pejuang-pejuang Pas Kawasan Sik selama 25 tahun perjuangan bagi memastikan Islam terus berkembang subur hingga ke hari ini. " Ada antara mereka yang telah meninggal dunia," ujarnya yang menyamakan pengorbanan pejuang-pejuang ini seperti pengorbanan Nabi Ibrahim menyembelih anaknya sendiri Nabi Ismail dan Allah gantikannya dengan Kibas. Untuk itu beliau menjemput semua anak-anak Sik di perantauan pulang memeriahkan sambutan ini. " Pelbagai acara disediakan antaranya Konsert Nasyid Inteem, Dikir Barat serta ceramah YB. Salehudin Ayub dan YB. Dato Seri Anwar Ibrahim," Ujarnya. Beliau seterusnya menyeru pemuda-pemuda Sik menunjukkan keperihatinan mereka kepada perjuangan Islam di Sik dengan memberi sumbangan melalui pembelian buku cenderamata bernilai RM5.00 sebuah dan T. Shirt Sambutan Jubli Perak bernilai RM 30.00 untuk dana pengurusan dan pembangunan Islam di Daerah ini

Rabu, 29 Julai 2009

Mai Pulak Noh.....Sembahyang dulu!....

Sik - Pasar Malam Model Islam yang dianjurkan Majlis Daerah Sik mendapat sambutan yang menggalakan daripada penduduk Sik. Hampir 1000 orang membanjiri Dataran Padang Awam Sik untuk membeli belah sambil mendengar ceramah yang disampaikan penceramah terkenal Dr. Jamnul Azhar Mulkan. "Mai pulak noh.....Sembahyang dulu," itulah dialog seorang peniaga gerai kepada pelanggan selepas azan berkumandang menandakan masuknya waktu solat Isyak. Menurut Ahli Majlis Daerah Sik, Ustaz Ismail Mahmud, beliau menyatakan bahawa Pasar Malam Model Islam adalah manifestasi daripada pelancaran Bulan Sembahyang peringkat daerah Sik yang bertujuan mendidik masyarakat Islam menunaikan sembahyang walaupun sibuk dengan urusan jual beli. "Alhamdulillah, program ini mendapat kerjasama yang baik daripada semua pihak khususnya daripada penguatkuasa MDS, peniaga gerai dan orang ramai," Katanya. " Ini adalah program perintis dan InsyaAllah kita akan teruskan lagi," Ujarnya selepas majlis tersebut.

Isnin, 27 Julai 2009

Sekolah Agama Rakyat (SAR) belum terbela?

SIK- Sekolah Agama Rakyat di Negeri Kedah belum terbela sepenuhnya. Kini, sudah sampai masanya semua pihak perlu diberi kesedaran agar Sekolah Agama Rakyat (SAR) mendapat pembelaan sewajarnya selepas dipasung oleh pemerintah UMNO dan Barisan Nasional sejak sekian lama. Kenyataan ini ditegaskan oleh Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan Sik, Sdr. Shubki Sulaiman dalam emailnya kepada pemudasikdaily. " Dulu Komunis membunuh pendidikan agama di Rusia, Sebelum itu Yahudi berusaha membunuh Para Nabi, la ni siapa pula yang bertanggungjawab membunuh Sekolah-Sekolah Agama Rakyat di Kedah dan di Seluruh Malaysia. Di Sik sendiri ada 2 buah SAR yang telah berkubur iaitu Pondok Zawiyah Kuala Jeneri dan Sekolah Agama Belantik," tegasnya. " InsyaAllah Dewan Pemuda Pas Kawasan Sik akan mencari inisiatif untuk merujuk kepada pihak-pihak tertentu seperti Kerajaan Negeri Kedah yang telah dipimpin Pakatan Rakyat, GLC dan individu yang cintakan pendidikan Islam, apakah kaedah terbaik untuk menghidupkan SAR yang telah mati ini." tegasnya lagi. " Di peringkat kawasan Sik, kita akan wujudkan Sekolah Rendah Islam di Sungai Pau tidak lama lagi dan kita sedang membuat bancian terhadap SAR yang masih beroperasi atau telah mati di seluruh kawasan sik." katanya yang amat kecewa dengan perkembangan SAR mutakhir ini. Pemudasikdaily dimaklumkan terdapat belasan SAR dan pondok pengajian Islam yang beroperasi di Sik sahaja sebelum tahun 2000.

Ahad, 26 Julai 2009

Umang-Umang (Minda Ketua Pemuda)

1. Rehlah adalah sebahagian dari ekspidisi yang mempunyai pelbagai aktiviti menarik . Apatah lagi ianya diatur dan disusun oleh insan yang berjuang , mencari ruang dan medan mendekati diri kepada Allah swt Tuhan yang Maha Mencipta . 2. Rehlah seperti ini biasanya disebut Rehlah Tarbawi . Selain menyatu diri dengan keindahan alam semesta , meredakan ketegangan saraf yang hampir kejang setelah bergelut di medan guna mempertahankan Islam dan usaha mendaulatkannya , rehlah ini juga menenangkan minda dan mendamaikan jiwa . 3. Lebih bermakna apabila rehlah disertai oleh rakan seperjuangan . Saling memahami malah saling melengkapi . Perkara benar disokong dan dibantu sementara perkara salah , tanpa silu diperbetul dan dipandu . Indah ! sungguh indah dunia ini andai semuanya adalah sahabat seperjuangan kita . 4. Tapi realitinya tidaklah sebagaimana apa yang saya sebutkan tadi . Ada sahabat yang bersedia menjadi sahabat kita tanpa mengira suka atau dukanya . Saat perlu ia hadhir , saat buntu ia mampir . Susah kita resah dia , sakit kita letih dia , sukar kita payah dia , senang kita tenang dia , bahagia kita gembira dia . Demikianlah indahnya bersahabat .
5. Namun ada kalanya kita berdepan dengan musuh. Sering mencari salah dan silap kita justeru itulah pelurunya untuk menembusi jantung hati kita . Bukanlah sukar mereka mahu memahami kita tetapi sengaja buat - buat tidak faham lalu bertindak melulu dan mempertikai apa jua yang lahir dari kita . Tidak tergaris wajah sayang dan kasih sebaliknya apa yang terhambur ialah kebencian dan dendam kesumat . 6. Lebih malang , kita bertemu kawan atau sahabat pada nilai pertamanya tetapi pantang mendapat kesempatan , segala kepercayaan diragut dan segala kesetiaan dinodai tanpa rasa simpati biarpun sekelumit . Dia boleh tipu kita tanpa berkerut kening . Dia tergamak menikam kita walau dari arah belakang . 7. Sahabat saya kata , orang macam ni tak ubah seperti umang - umang . Mulanya kelihatan seperti berkawan dengan kerang atau spesis siput kemudiannya rumah [ cengkerang ] siput atau kerang itu akan diambil setelah ianya dibunuh . Wallahua'alam bis sowab . 8. Saya tidak pernah melihat umang - umang merampas rumah siput atau kerang tetapi yang saya pasti cengkerang umang - umang itu saling tidak tumpah milik spesis siput atau kerang . 9. Harapnya tiadalah sahabat - sahabat ku menjadi umang - umang atau tidaklah pula aku menjadi umang - umang kepada sahabat - sahabat ku . Rehlah tarbawi mengajar erti pengukuhan dalam bersahabat biar pun tiada modul khusus yang lakukan . hanya melalui rehlah dan mukhayyam , persahabatan kian erat dan ukhuwwah kian bersemadi . Apa lagi jika rehlah itu lengkap dengan agenda tarbawi yang baik dan dibimbing pula oleh sang murabbi yang hebat dan berkat . 10. Rehlah tarbawi sangatlah baik dilakukan di semua peringkat pemuda . Sesekali kita keluar dari ruang pejabat kita , jauh ke tengah pulau yang tiada line telefon untuk dihambat oleh wartawan , tiada pula boat yang menanti untuk beralasan lari meninggalkan tapak rehlah . Kita sesama kita , hadapi segala pancaroba dan tempuhi bersama suka duka biarpun 2 atau 3 hari namun ia satu simbolik untuk kekal persahabatan kita tanpa khianat bagi tempoh rehlah kedua menyusul pula akan datang . Sungguh Indah hari - hari yang dilalui dengan ketenangan . Kemudiannya ianya menjadi modal dan energy baru untuk turun semula ke medan berdepan dengan musuh - musuh Islam , lalu menjulang panji perjuangan .

Jumaat, 24 Julai 2009

SAMBUTAN JUBLI PERAK PLATFORM SATUKAN RAKYAT SIK

Sambutan Jubli Perak Pas Kawasan Sik adalah bertujuan untuk menyatukan seluruh rakyat sik tanpa mengira latar belakang agama, fahaman politik atau keturunan. Menurut Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kawasan Sik, Sdr. Mohd Nasri Bin Muarat kepada pemudasikdaily, " Program ini dianjurkan atas kerjasama Pas Kawasan Sik, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat Pas Kawasan Sik sempena 25 tahun penubuhan pas di kawasan Sik". "Menjadi hasrat dan harapan pemuda mudah-mudahan program ini menjadi simbol penyatuan kepada seluruh rakyat Sik" katanya yang mengalu-alukan sokongan daripada semua pihak untuk menjayakan program ini.
2009-07-25_010326.jpg (image)

Rabu, 22 Julai 2009

Pasar Malam Model Islam di Sik - Pegawai Daerah SIik

Pasar malam model Islam, Solat Asar berjemaah untuk semua kakitangan Jabatan Kerajaan peringkat daerah Sik seminggu sekali dan solat Dhuha berjemaah sebulan sekali adalah pengisian program Bulan Sembahyang anjuran Majlis Daerah Sik. Menurut Pegawai Daerah Sik, Tn. Hj. Azmi bin Din, "Penganjuran Program Bulan Sembahyang oleh Pejabat Daerah Sik adalah bertujuan merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk mengembangkan perlaksanaan Islam di daerah ini". " Saya mengharapkan program ini akan mendapat sokongan padu daripada semua pihak tanpa mengira batasan kumpulan atau partisan", katanya pada Majlis Pelancaran Program Bulan Sembahyang di Bandar Baru Beris Jaya baru-baru ini. Perasmian majlis tersebut di sempurnakan oleh Y.A.B Dato Seri Azizan Razak, Menteri Besar Kedah.

Isnin, 20 Julai 2009

DEWAN PEMUDA PAS NEGERI KEDAH DIGESA SELESAI ISU KONSERT 60-AN FESTIVAL KEDAH SEJAHTERA

Isu Konsert 60-an Festival Kedah Sejahtera yang akan berlangsung minggu hadapan mengundang kontroversi apabila Dewan Pemuda Pas Kawasan Kubang Pasu membuat teguran secara terbuka dalam laman blog KedahLanie. Menurut Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Kubang Pasu, Kaman Jaapar yang dipetik dalam blog tersebut, “ kami rasa amat pelik dan terkejut.... bagaimana konsert 60an boleh diselitkan dalam acara Festival Kedah Sejahtera tersebut. Pada hal sebelum ini, PAS juga merupakan kumpulan ataupun parti yang mewakili rakyat menentang sebarang bentuk konsert yang bersifat melalaikan orang ramai”. Bagi Dewan Pemuda Pas Kawasan Sik, isu ini perlu diselesaikan secara bijaksana oleh Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah. Menurut EXCO Dewan Pemuda Pas Kawasan Sik, Sdr. Ishak Salleh, "Islam tidak melarang umatnya untuk berhibur mengikut batas-batas syariat yang ditetapkan. Pihak penganjur mungkin tidak mengerti bentuk hiburan yang dibolehkan oleh Islam, jadi peranan kita memberi penerangan dan menetapkan garis panduan kepada mereka. Kerana festival ini dibawah seliaan kerajaan negeri maka sewajarnya DPPNK turun padang mencari jalan penyelesaiannya". Manakala menurut Sdr. Tarmizi Sulaiman, EXCO DPPKS, " Pihak penganjur Festival Kedah Sejahtera sewajarnya menimbang semula kadar sewa gerai yang terlalu tinggi sehingga mencecah RM 5000.00 per gerai. Persoalannya apakah kadar ini setanding dengan Konsert Jom Heboh anjuran TV3?". Berita lanjut tentang Festival ini layari :- http://kedahlanie.blogspot.com/2009/07/batalkan-konsert-60an-di-festival-kedah.html

Sabtu, 18 Julai 2009

JAMBORI AMAL SIK SEMAI SEMANGAT JIHAD - PENGARAH UNIT AMAL SIK

Program Jambori Amal Sik anjuran Dewan Pemuda Pas Kawasan Sik 2009 yang berlangsung pada 16, 17 dan 18 Julai 2009 baru-baru ini telah berhasil membentuk semangat jihad yang tinggi di kalangan pemuda-pemuda Sik untuk mempertahankan kemuliaan Islam. Menurut pengarah Unit Amal Sik Sdr. Najib Ahmad, program ini dihadiri hampir 50 pemuda daripada seluruh sik dan mendapat perhatian menggalakan daripada penduduk berdekatan tapak kem di Kg. Chepir, Sik, Kedah. " Tujuan program ini adalah bertujuan mengaktifkan semula Unit Amal Sik dan meningkatkan tahap persaudaraan dan cintakan Islam yang tinggi di kalangan peserta telah berjaya dicapai", katanya kepada pemudasikdaily. " Apa yang penting kita nak semaikan semangat jihad kepada pemuda-pemuda ini," katanya lagi. Beliau seterusnya menyatakan program ini akan diadakan secara berkala dan bersiri dari masa ke semasa.

Warkah Anak Perantau

Habisnya Tempoh Berbulan Madu
Kepada semua rakyat Malaysia, saya ingin persoalkan? entah apa istimewanya 100 hari, saya tak pasti. Mungkin angka 100 itu nampak menarik. Sama seperti 8, 88, atau 888. Angka 1, 10, dan 100 juga begitu. Dato' Seri Najib Tun Razak sudah 100 hari menjadi Perdana Menteri. Ada yang mengatakan dengan berakhirnya 100 hari, tempoh berbulan madu beliau sebagai Perdana Menteri sudah berakhir. Tentulah sukar untuk melihat pencapaian yang signifikan dalam tempoh itu. Malah, saya fikir tidak realistik mengharapkan begitu. Namun, tempoh 100 hari telah membolehkan rakyat menilai gaya kerja Najib dan cara beliau membuat keputusan dan bertindak. Sekurang-kurangnya 100 hari membolehkan rakyat mengenali Najib sebagai Perdana Menteri. Pendekatan "1Malaysia: Rakyat didahulukan. Pencapaian diutamakan", pemilihan barisan kabinet, dasar liberalisasi ekonomi dan tentunya isu PPSMI mewarnai tempoh 100 hari kepimpinan Najib. Berakhirnya tempoh 100 hari kepimpinan Najib juga menyaksikan Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan keputusan beliau untuk kembali mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu di sekolah kebangsaan dan bahasa ibunda di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil. Adakah ini permulaan kepada kritikan Dr Mahathir yang lebih keras terhadap Najib? Cabaran Najib sekarang bukan lagi mengumumkan inisiatif-inisiatif tertentu tetapi apa yang lebih penting sekarang ialah menunjukkan kepada rakyat bahawa inisiatif-insiatif tersebut memberikan impak yang positif terhadap kehidupan mereka. Saya tidak percaya kepada keajaiban angka. Bagaimanapun saya percaya 100 hari adalah memadai untuk seseorang membuat penilaian awal terhadap kepimpinan Najib dan saya fikir itulah yang akan rakyat lakukan sekarang. Anak Sik Sejati, Kuala Lumpur.

Jumaat, 17 Julai 2009

ISU BABI: SYARIKAT MULTINASIONAL DAN DEWAN ULAMA PAS DIHARAP BANTU KERAJAAN KEDAH - Ketua Penerangan

Isu Pusat Penyembelihan Babi di Kedah perlu diselesaikan segera. Sekiranya berlarutan akan memberi kesan kepada kemuliaan Islam di Kedah. Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kawasan Sik, Sdr. Mohd Nasri Bin Muarat mencadangkan kepada pentadbiran kerajaan Kedah menawarkan insentif perniagaan ( Business incentive) kepada syarikat Multinasional yang berpangkalan di Kedah seperti Austral Sdn. bhd, Sime Darby Berhad dan Golden Hope Berhad untuk membangunkan pusat penyembelihan babi moden. Cadangan ini bertujuan menyelesaikan masalah kesempitan tanah yang dihadapi kerajaan negeri. Dalam kenyataannya yang di e-mail kepada pemudasikdaily, beliau menjelaskan syarikat-syarikat ini mempunyai tanah ladang yang luas dari Bukit Kayu Hitam hingga ke Bandar Bharu. Sekiranya projek integrasi ( The Intergrative Farming) dilaksanakan di kawasan ladang milik syarikat-syarikat ini masalah pencemaran, kebersihan dan ketenteraman awam dapat diatasi. Selain itu beliau juga mencadangkan kepada Dewan Ulama Pas Pusat membuat kenyataan rasmi berkaitan isu ini. Masyarakat Islam Kedah sedang menunggu kenyataan rasmi daripada institusi ulama. " Ulama kena pantas mengeluarkan hujah samada boleh atau tidak pembangunan Pusat Penyembelihan Babi di Kedah yang hanya mempunyai lebih kurang 100 ribu penduduk bukan Islam" tegasnya dalam kenyataan tersebut.

Rabu, 15 Julai 2009

Nasarudin Tantawi dicabar Bedebat

Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Haji Nasarudin Tantawi dicabar berdebat berkaitan Hala Tuju Dewan Pemuda Pas Pusat selepas mengadakan engagement dengan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia baru-baru ini. Pemudasikdaily dimaklumkan beberapa orang jawatankuasa pemuda pas kawasan di negeri Kedah besedia untuk berdebat mengenai perkara ini. Menurut mereka walaupun perkara ini sudah berlalu, tetapi kesannya begitu besar kepada pemuda-pemuda kawasan memperkukuhkan kerjasama dengan pemuda pakatan rakyat.

Ahad, 12 Julai 2009

PAS Kawasan Sik Sambut Jubli Perak.

PAS Kawasan Sik akan menyambut Jubli Peraknya pada 30 Julai sehingga 02 Ogos 2009 di Dataran Kompleks PAS Kawasan Sik, Kampung Sungai Pau, Sik Kedah Darulaman.
Malam Majlis perasmian akan disempurnakan oleh YB. Dato Seri Nizar Jamaludin dan malam majlis penutup pada 02 Ogos akan disempurnakan oleh YB. Dato Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang Presiden PAS. Sambutan berlansung selama 4 hari dengan pelbagai aktiviti dan program yang menarik, pameran agensi kerajaan dan swasta akan berlansung selama program tersebut dijalankan, Orang ramai dijemput hadir bagi menjayakan sambutan ini.

Rabu, 8 Julai 2009

TINDAKAN MBAS MEROBOH RUMAH PENYEMBELIHAN KHINZIR MENGAMBIL KIRA KEPENTINGAN SELURUH MASYARAKAT DAN MENGIKUT UNDANG-UNDANG.

Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Kawasan Sik 6 hb Julai 2009

Dewan Pemuda PAS Kawasan Sik (DPPKS) menyokong tindakan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) meroboh rumah penyembelihan babi di Kampung Berjaya , Alor Setar untuk di tempatkan ke kawasan yang lebih sesuai kerana ianya mengambil kira kepentingan seluruh masyarakat tanpa mengira kelompok atau individu tertentu.

Dari maklumat yang dikumpul , bantahan dan aduan penduduk disekitar kawasan itu seperti Kampung Teluk Yan dan pengguna pasar awam yang berada di sebelahan Kampung Berjaya telah lama dipanjangkan kepada pihak berkuasa. Malah pencemaran alam samada bau busuk dan pengaliran sisa sembelihan yang kotor berpunca dari rumah sembelihan tersebut telah berlarutan lebih dari 30 tahun. Keadaan ini telah mengganggu keselesaan kehidupan lebih 1000 penduduk disekitar kawasan tersebut.

Bantahan dari pengusaha dengan alasan pihak berkuasa hanya memberi tempoh yang singkat iaitu satu bulan untuk berpindah , tidak dapat diterima kerana rumah penyembelihan itu berada di atas tanah kerajaan serta arahan untuk berpindah telah dikeluarkan sejak 14 tahun yang lalu apabila Majlis Perbandaran Kota Setar ketika itu telah memberi notis pindah kepada pengusaha rumah sembelihan tersebut pada tahun 1995 lagi. Ini bermakna ia telah beroperasi secara haram lebih dari 14 tahun.

Kami juga berpendapat dengan keadaaan pembangunan dan penempatan penduduk yang semakin padat disekitar rumah penyembelihan itu maka adalah tidak sesuai lagi ianya beroperasi di kawasan itu.

DPPKS kesal kenapa tindakan MBAS yang mengikut undang-undang dan peraturan serta jelas untuk kebaikan seluruh masyarakat tidak dihormati oleh pihak tertentu sehingga membawa kepada krisis yang bersifat kepentingan politik kepartian yang sempit.

Jika sikap kedegilan dan kegopohan diutamakan dalam sebarang tindakan demi untuk menunjukkan kuasa dan tekanan politik dan tidak mahu patuh kepada undang-undang maka DPPKS menegaskan pihak yang berkaitan tidak perlu mendakwa diri sebagai pejuang rakyat.

DPPKS amat kesal terhadap kaedah konfrontasi yang ditunjuk oleh pihak tertentu untuk menangani masalah ini serta mengaitkan isu lain yang tidak benar dengan niat yang tidak baik untuk mengapikan sensitiviti diatara kaum dan memburukan imej kerajaan negeri Kedah. Pihak ahli politik yang terlalu ghairah untuk mempertahankan kepentingan segelintir pengusaha rumah sembelihan babi tetapi memangsakan nasib ribuan orang ramai adalah amat menyalahi prinsip perjuangan mereka selama ini.

DPPKS menegaskan bahawa pihak penternak dan pengusaha rumah penyembelihan babi mesti mematuhi peraturan kerana ia bukan sahaja melibatkan sensitiviti penduduk Islam malah menjadi punca pencemaran bau busuk serta najis yang menjejaskan kesihatan dan alam sekitar penduduk.

Kami menyokong sikap tegas pihak MBAS dan mengesa pihak kerajaan negeri Kedah mengenal pasti kawasan yang paling sesuai untuk memindahkan semua rumah sembelihan dan mengambil kira segala aspek termasuk pandangan penduduk, kesan alam sekitar dan sosial sebelum meluluskan sesuatu kawasan untuk menempatkan rumah sembelihan babi agar ia tidak lagi menjadi polemik dan ketidaktenteraman dikalangan masyarakat kita yang berbilang kaum.

DPPKS yakin bahawa kerajaan negeri Kedah dibawah pimpinan YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak dengan penuh hikmah dan bijaksana dapat menangani isu ini sebaik mungkin dengan berpaksikan slogan‘ Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’.

Badrul Hisham bin Abdul Rahman

Ketua DPPKS

Khamis, 2 Julai 2009

Che'Gu Bard istihar batal semua kerjasama dengan Dewan Pemuda PAS

Beberapa perkara perlu diberikan perhatian dalam isu memastikan kelansungan kekuatan Pakatan Rakyat. Pimpinan DAP Pusat seharusnya mengambil tindakan terhadap pimpinan DAP Kedah yang terlibat membuat kenyataan terbuka di media tanpa perbincangan yang sempurna dalam Majlis Pakatan Rakyat. Semua tindakan yang melibatkan dasar harus dibuat diperingkat pusat. Tindakan Ketua Pemuda PAS membuat pertemuan 'rasmi' dan 'terbuka' dengan Pemuda Umno dilihat sebagai usaha terkebelakang dalam memastikan kekuatan pakatan. Nampaknya ada kalangan pimpinan PAS seolah tidak memahami isyarat keputusan Pilihanraya Umum lalu. Mereka juga terus menerus melakukan tindakan memberikan 'talian hayat' kepada Umno - Bn yang makin melemah. Ini mungkin berlaku kerana banyak alasan, namun alasan - alasan tersebut ialah alasan dangkal yang ingin menghalalkan tindakan mereka semata - mata demi kepentingan kelompok tertentu sahaja. Jika dakwaan ini salah sila jawab apa yang berlaku apabila rakyat menolak Bn di Selangor tetapi sebaliknya ada pimpinan PAS yang duduk berbincang dengan Bn dengan membawa kemungkinan membentuk kerajaan campuran PAS-Umno di Selangor, tetapi akhirnya gagal kerana dua - dua pihak berkeras hendak jadi Menteri Besar..... Sila jawab dakwaan terbuka Tuan Guru Ust. Hj Ahmad Awang yang menyatakan ada pimpinan PAS Pusat yang menghubungi beliau meminta pertimbangan semula agar diadakan pakatan Umno - Pas dalam membentuk kerajaan Perak. che'GuBard dengan ini selaku anak muda yang bergelumang dengan aktivis 'bawahan' dan melihat derita rakyat dizalimi dan ditinds regim serta mepelajari sejarah bahawa regim ini pewaris penjajah negara, maka dengan ini mengecam tindakan Dewan Pemuda Pas yang masih terhegeh-hegeh memberikan talian hayat kepada Umno. Selaku anak muda che'GuBard mengisytiharkan memboikot semua program melibatkan Dewan Demuda PAS termasuk jemputan yang telah disahkan hadir. Tindakan ini bukan mewakili parti tetapi mewakili kekecewaan aktivis 'bawahan' yang tidak diendahkan suara mereka. Apa yang kita dapat hari ini bukan atas kekuatan parti kita semata - mata tetapi atas penolakan kuat rakyat terhadap Bn dan harapan sedikit yang ada terhadap gabungan kita. Bila ada sikit kuasa kita lupa dan nak lebih dengan ajak entiti yang ditolak rakyat untuk duduk semeja....percayalah teruskanlah perkara ini rakyat akan terus mencampak kita dalam longkang dalam PRU yang akan datang..... Wahai Yb atau sesiapa yang mendapat apa juga tempat hasil PRU lepas, ketahuilah keputusan itu bukan dicipta begitu sahaja dalam sehari pada 8 Mac yang lepas ia merupakan hasil perjuangan panjang...... sanggupkah kita kianati semua sejarah perjuangan panjang tersebut.

Rabu, 1 Julai 2009

Isu k'jaan perpaduan meletus semula

Isu kerajaan perpaduan rupa-rupanya belum reda dalam PAS dan mudah mencetuskan pergeseran kembali di kalangan kumpulan yang menyokong dan membantahnya. Mangsa terbaru melibatkan artikel ahli jawatankuasa pusatnya Dr Dzulkefly Ahmad di akhbar web rasmi PAS Harakahdaily yang tiba-tiba lesap tidak boleh dibaca lagi hari ini. Artikel bertajuk "Gagasan Pemikiran Kerajaan Perpaduan, Mana Silapnya?" dimuatkan tengah hari semalam tetapi ditarik balik susulan bantahan seorang pemimpin kanan parti yang turut menguasai sidang pengarang Harakah. dr zulkiflli's article removed by harakahMasa dan tarikh ia dibuang daripada edisi internet itu tidak dapat dipastikan tetapi ia menjadi buah mulut di kalangan ahli dan penyokong PAS sendiri, termasuk di internet. Artikel yang sama dihantar untuk edisi terbaru akhbar rasmi PAS tetapi difahamkan nasibnya sama dengan edisi dalam talian di laman web tersebut - ditarik balik walaupun telah dicetak, sebahagiannya. Saranan mengadakan perbincangan kerajaan perpaduan PAS-Umno bermula Februari lalu lagi tetapi menonjol lebih jelas di muktamar ke-55 kira-kira sebulan lalu sehingga diredakan 22 Jun apabila ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat menolaknya. Dr Dzulkefly, dalam artikel itu mengulas, penolakan terhadap kerajaan perpaduan bukan kerana ia sukar dilaksanakan atau kerana ditolak parti lain yang bergabung dalam Pakatan dan BN. Sebaliknya, bekas pengarah Pusat Penyelidikan PAS berkata, penolakan terhadap idea itu berasaskan tiga sebab: bullet buttonKerajaan perpaduan dalam apa jua bentuknya berlawanan dengan pembangunan politik baru Malaysia sejak Mac 2008, yang cenderung ke arah sistem dua parti – BN lawan Pakatan. bullet buttonBersandarkan kaedah usul fekah, PAS sebagai gerakan Islam harus menolak mudarat (pengaruh parti merosot sejak pilihanraya umum lalu) berbanding mengejar kemaslahatan (mengatasi krisis dalam negara). bullet buttonBerdasarkan pengalaman pahit PAS bersama Umno selama ini, perbincangan kerajaan perpaduan hanya akan memberi manfaat yang cukup besar kepada Umno tetapi pada masa yang sama merugikan PAS dan Pakatan. Dr Dzulkefly memulakan hujahnya dengan menegaskan bahawa idea kerajaan perpaduan, walaupun disuarakan Abdul Hadi, tetapi menyanggahnya bukan bermakna tidak wala' (setia) atau kurang hormat kepada presiden parti. "(Idea Abdul Hadi) cukup menarik dan berpotensi untuk diperkembangkan secara pengoperasiannya. "Pelbagai cadangan juga boleh dimuatkan dalam konsep yang sememangnya idealistik dan mungkin ada yang menelahnya sebagai utopian atau di luar kemampuan untuk direalisasikan dalam satu realiti politik ... seperti di negara ini," coretnya.