Rabu, 8 Julai 2009

TINDAKAN MBAS MEROBOH RUMAH PENYEMBELIHAN KHINZIR MENGAMBIL KIRA KEPENTINGAN SELURUH MASYARAKAT DAN MENGIKUT UNDANG-UNDANG.

Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Kawasan Sik 6 hb Julai 2009

Dewan Pemuda PAS Kawasan Sik (DPPKS) menyokong tindakan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) meroboh rumah penyembelihan babi di Kampung Berjaya , Alor Setar untuk di tempatkan ke kawasan yang lebih sesuai kerana ianya mengambil kira kepentingan seluruh masyarakat tanpa mengira kelompok atau individu tertentu.

Dari maklumat yang dikumpul , bantahan dan aduan penduduk disekitar kawasan itu seperti Kampung Teluk Yan dan pengguna pasar awam yang berada di sebelahan Kampung Berjaya telah lama dipanjangkan kepada pihak berkuasa. Malah pencemaran alam samada bau busuk dan pengaliran sisa sembelihan yang kotor berpunca dari rumah sembelihan tersebut telah berlarutan lebih dari 30 tahun. Keadaan ini telah mengganggu keselesaan kehidupan lebih 1000 penduduk disekitar kawasan tersebut.

Bantahan dari pengusaha dengan alasan pihak berkuasa hanya memberi tempoh yang singkat iaitu satu bulan untuk berpindah , tidak dapat diterima kerana rumah penyembelihan itu berada di atas tanah kerajaan serta arahan untuk berpindah telah dikeluarkan sejak 14 tahun yang lalu apabila Majlis Perbandaran Kota Setar ketika itu telah memberi notis pindah kepada pengusaha rumah sembelihan tersebut pada tahun 1995 lagi. Ini bermakna ia telah beroperasi secara haram lebih dari 14 tahun.

Kami juga berpendapat dengan keadaaan pembangunan dan penempatan penduduk yang semakin padat disekitar rumah penyembelihan itu maka adalah tidak sesuai lagi ianya beroperasi di kawasan itu.

DPPKS kesal kenapa tindakan MBAS yang mengikut undang-undang dan peraturan serta jelas untuk kebaikan seluruh masyarakat tidak dihormati oleh pihak tertentu sehingga membawa kepada krisis yang bersifat kepentingan politik kepartian yang sempit.

Jika sikap kedegilan dan kegopohan diutamakan dalam sebarang tindakan demi untuk menunjukkan kuasa dan tekanan politik dan tidak mahu patuh kepada undang-undang maka DPPKS menegaskan pihak yang berkaitan tidak perlu mendakwa diri sebagai pejuang rakyat.

DPPKS amat kesal terhadap kaedah konfrontasi yang ditunjuk oleh pihak tertentu untuk menangani masalah ini serta mengaitkan isu lain yang tidak benar dengan niat yang tidak baik untuk mengapikan sensitiviti diatara kaum dan memburukan imej kerajaan negeri Kedah. Pihak ahli politik yang terlalu ghairah untuk mempertahankan kepentingan segelintir pengusaha rumah sembelihan babi tetapi memangsakan nasib ribuan orang ramai adalah amat menyalahi prinsip perjuangan mereka selama ini.

DPPKS menegaskan bahawa pihak penternak dan pengusaha rumah penyembelihan babi mesti mematuhi peraturan kerana ia bukan sahaja melibatkan sensitiviti penduduk Islam malah menjadi punca pencemaran bau busuk serta najis yang menjejaskan kesihatan dan alam sekitar penduduk.

Kami menyokong sikap tegas pihak MBAS dan mengesa pihak kerajaan negeri Kedah mengenal pasti kawasan yang paling sesuai untuk memindahkan semua rumah sembelihan dan mengambil kira segala aspek termasuk pandangan penduduk, kesan alam sekitar dan sosial sebelum meluluskan sesuatu kawasan untuk menempatkan rumah sembelihan babi agar ia tidak lagi menjadi polemik dan ketidaktenteraman dikalangan masyarakat kita yang berbilang kaum.

DPPKS yakin bahawa kerajaan negeri Kedah dibawah pimpinan YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak dengan penuh hikmah dan bijaksana dapat menangani isu ini sebaik mungkin dengan berpaksikan slogan‘ Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’.

Badrul Hisham bin Abdul Rahman

Ketua DPPKS

Tiada ulasan: