Sabtu, 18 Julai 2009

Warkah Anak Perantau

Habisnya Tempoh Berbulan Madu
Kepada semua rakyat Malaysia, saya ingin persoalkan? entah apa istimewanya 100 hari, saya tak pasti. Mungkin angka 100 itu nampak menarik. Sama seperti 8, 88, atau 888. Angka 1, 10, dan 100 juga begitu. Dato' Seri Najib Tun Razak sudah 100 hari menjadi Perdana Menteri. Ada yang mengatakan dengan berakhirnya 100 hari, tempoh berbulan madu beliau sebagai Perdana Menteri sudah berakhir. Tentulah sukar untuk melihat pencapaian yang signifikan dalam tempoh itu. Malah, saya fikir tidak realistik mengharapkan begitu. Namun, tempoh 100 hari telah membolehkan rakyat menilai gaya kerja Najib dan cara beliau membuat keputusan dan bertindak. Sekurang-kurangnya 100 hari membolehkan rakyat mengenali Najib sebagai Perdana Menteri. Pendekatan "1Malaysia: Rakyat didahulukan. Pencapaian diutamakan", pemilihan barisan kabinet, dasar liberalisasi ekonomi dan tentunya isu PPSMI mewarnai tempoh 100 hari kepimpinan Najib. Berakhirnya tempoh 100 hari kepimpinan Najib juga menyaksikan Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan keputusan beliau untuk kembali mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu di sekolah kebangsaan dan bahasa ibunda di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil. Adakah ini permulaan kepada kritikan Dr Mahathir yang lebih keras terhadap Najib? Cabaran Najib sekarang bukan lagi mengumumkan inisiatif-inisiatif tertentu tetapi apa yang lebih penting sekarang ialah menunjukkan kepada rakyat bahawa inisiatif-insiatif tersebut memberikan impak yang positif terhadap kehidupan mereka. Saya tidak percaya kepada keajaiban angka. Bagaimanapun saya percaya 100 hari adalah memadai untuk seseorang membuat penilaian awal terhadap kepimpinan Najib dan saya fikir itulah yang akan rakyat lakukan sekarang. Anak Sik Sejati, Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: