*(Roslan SMS)-(180809)
Baru sebentar tadi saya menerima panggilan telefon dari seorang aktivis PAS di Kuala Selangor. Katanya beliau baru menurunkan suatu kain rentang di Assam Jawa yang dipercayai dinaikkan lewat tengah malam yang mendesak agar YAB Tan Sri Khalid Ibrahim melepaskan semua jawatan beliau.
Katanya kain rentang tersebut dari jenis yang berkualiti dan dicetak kemas.
Memang Umno Selangor bernafsu besar sejak kebelakangan ini, mengeluarkan kenyataan kononnya Umno Selangor akan kembali memerintah negeri ini pada 31 Ogos nanti. Malah berbagai SMS dikirimkan antaranya menyebut bahawa sekurang-kurangnya 7 orang EXCO Selangor akan didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan mengakibatkan kerajaan negeri Selangor roboh.
Selangor bukan Perak yang dirampas melalui politik pintu belakang dari tangan Pakatan Rakyat (yang boleh jatuh kerana berpaling tadahnya 3 ADUN PR), Selangot bukan macam Kelantan pra PRU ke 12 yang bertahan cuma dengan majoriti 1 kerusi. Bukannya mahu bercakap besar tetapi hakikatnya kerajaan Pakatan Rakyat Selangor kukuh dengan kedudukan 36 kerusi berbanding Umno BN yang hanya punya 20 kerusi.
Umno memang berhak bermimpi untuk kembali berkuasa dalam waktu terdekat di Selangor ini. Mungkin dengan menaikkan kain-kain rentang seluruh Selangor maka mimpi mereka boleh menjadi nyata. Mungkin dengan menantikan EXCO-EXCO dan ADUN-ADUN PR Selangor diseret ke mahkamah dan disabitkan dengan pelbagai tuduhan buat-buatan maka mimpi mereka boleh jadi nyata.
Teruslah bermimpi.
Realitinya rakyat sudah muak dengan karenah mereka di Selangor ini, Mungkin kerajaan PR di Selangor ini baru usianya, mungkin antara PAS, PKR dan DAP baru mahu belajar memerintah, bekerjasama, tetapi sekurang-kurangnya mereka lebih diyakini dari BN yang telah jelas menoda dan mencabul amanah rakyat selama lebih 50 tahun lalu.
Sejarah hitam Selangor di bawah BN tidak boleh dijernihkan dengan mimpi-mimpi yang enak-enak dan dakwaan yang tidak berasas. Kalau mahu bertarung dan berlawan populariti, maka tunggulah PRU ke 13 nanti. Jangan berangan-angan mencetuskan rampasan kuasa melalui politik pintu belakang di sini.
Banyak isu yang bertimbun di atas kepala mereka masih belum dirawat. Istana Khir Toyo yang menelan jutaan ringgit itu sudah cukup memualkan keyakinan rakyat terhadap mereka. Isu PKFZ yang sedang panas turut membabitkan pimpinan BN negeri termasuk Umno. Tiba-tiba merekamahu kembali berkuasa begitu sahaja!
PR Selangor telah bertahan selama setahun dan tidak ada sebab ia tidak boleh bertahan sehingga tamat tempuhnya malah melanjutkan pula tempuhnya selepas PRU ke 13 nanti. Yang pentingnya amanah yang diberikan rakyat dilaksanakan dengan baik, yang pentingnya mereka tidak mengulangi dosa-dosa Umno dan BN.
Kalau mereka berjaya begitu tidak ada sebab rakyat Selangor mahu kembali kepada BN, kecuali dalam mimpi.
1 ulasan:
jgn harap la hangpa nak ambik balik..
aku tau
Catat Ulasan