Isnin, 28 September 2009

Mana lebih baik, cara Selangor atau Kedah?

Zulkifli Sulong

Sejak dari awal lagi, dua negeri Pakatan Rakyat iaitu Selangor dan Kedah mempunyai pendekatan berbeza. Selangor dilihat mengamalkan dasar terbuka manakala Kedah pula mengamalkan dasar tertutup.

Tidak pasti, apakah ia benar-benar dasar kedua-dua kerajaan negeri itu tetapi itulah yang dilihat dari luar.

Kesemua Exco kerajaan negeri Selangor yang dipimpin oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim bebas memberikan pandangan masing-masing.

Masing-masing bebas membuat kenyataan akhbar, memanggil sidang akhbar apatah lagi bercakap kepada wakil-wakil media.

Isinya pula boleh menerangkan dasar dan perancangan kerajaan negeri bagi pihak portfolio masing-masing ataupun bercakap atas nama parti masing-masing.

Datuk Dr Hasan Ali, Pesuruhjaya PAS Selangor, bebas bercakap tentang portfolio agama, insfrastruktor dan Melayunya bagi pihak kerajaan negeri. Ronnie Liu pula bebas bercakap tentang kerajaan tempatannya dan apa-apa perancangan mengenainya. Apatah lagi MB, Tan Sri Khalid.

ImageKerana kebebasan itulah kadang-kadang jelas kelihatan percanggahan kenyataan antara mereka dalam media walaupun bercakap dari kerajaan yang sama.

Ia juga sering digunakan oleh media BN untuk memukul Pakatan Rakyat sehingga lahirlah kenyataan kononnya parti dalam Pakatan di Selangor tidur satu bantal tetapi mimpi berbeza.

Akibat dari keterbukaan ini pula jelas amat positif dalam mematangkan Selangor dan para pemimpinnya. Mereka tidak terlalu sensitif dengan kritikan bahkan sangat terbuka.

Khalid Ibrahim, walaupun seorang yang dipanggil Yang Amat Berhormat Menteri Besar, boleh dimaki dan dikutuk secara berdepan apabila beliau berdialog dengan penduduk Seksyen 23 mengenai isu kuil Hindu. Hasilnya, isu kuil ini berjaya diselesaikan dengan baik dan cepat walaupun cuba diselesai berpuluh-puluh tahun oleh Umno dan BN yang memerintah Selangor sebelum ini.

Walaupun nampak masalahnya tetapi bagi yang mahukan keterbukaan, cara Selangor ada baiknya.

Berbeza dengan kerajaan Pakatan di Kedah. Ia dilihat sangat tertutup. Cool sahaja tanpa kelihatan sebarang masalah. Kalau adapun, ia bukan karenah para exconya tetapi dari mereka yang berada di luar kerajaan.

Tidak ramai yang mengetahui apa sebenarnya perkembangan yang berlaku di Kedah. Kalau adapun, kenyataan yang keluar adalah dari Menteri Besarnya sahaja, Datuk Seri Azizan Razak.

ImageYang terbaru, Azizan berjanji akan menyelesaikan masalah kutipan sampah di negeri itu November ini kerana janji September lepas tidak berjaya dipenuhi oleh kontraktor terbabit.

Walaupun kecoh beberapa Adun akan meninggalkan Pakatan di Selangor, namun yang berlaku adalah Adun yang juga Exco kerajaan negeri Kedah dahulu yang keluar parti dan kemudiannya dipecat dari Exco. Sebelum ia berlaku, orang luar tidak tahu pergolakan dalam kerajaan negeri itu.

Jelas bagi orang luar, Kedah cool tanpa masalah. Jelas juga kepada orang luar, Selangor panas, hari-hari bertembung dalam media. Namun, pendekatan manakah yang lebih tepat, ia belum tentu lagi. Tunggulah masanya kerana masa yang lebih tepat memberikan kata putusnya. _

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya tidak suka cara Azizan..Tetapi saya lebih tidak suka cara Hassan Ali....ikutilah cara Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat...Azizan bagus sikit sebab dia dah lama sikit sepak terajang politik berbanding Hassan Ali yang baru nak belajar..tetapi Tuan Guru Nik Aziz lebih lama lagi...Hasan..azizan banyak bertaubat, beristigfar, dan bermuhasabah....Lembu,,babi, sampah, air tidak akan selesai melainkan pertolongan Allah.

Ahli PAS Veteren